Walaupun membesar dalam serba kesusahan, selain mempunyai masalah pembelajaran, se­mangat pemuda tinggi lampai berusia 19 tahun itu akhir­nya membawa dia muncul pe­menang pingat emas Sukan Pa­ralimpik dalam lompat jauh T20 di Rio, minggu lalu.
Kata Salmah Yatim, 59 dan Romly Mat, 65 dari Kampung Paya Kelubi, dekat sini anaknya yang pendiam dan pemalu ini tidak kisah merebahkan badan di mana-mana tempat dalam ruang rumah mereka itu asalkan bersama tilam kecilnya sehingga sekarang.
Salmah berkata, Abdul Latif tidak kisah kerana hanya tilam kecil itu sahaja yang sesuai untuk dibentang dalam ruang rumah yang terhad dan tidak pernah merungut di atas kesu­su­hannya itu.
Beliau memberitahu, rumah tanpa bilik yang dibina dengan bantuan kerajaan itu telah dibina sejak Abdul Latif dilahirkan dan dibesarkan, di samping enam adik beradik yang lain.
Beliau berkata, suaminya Rom­ly yang menjadi pemandu lori kilang beras pada ketika itu memang tidak mampu untuk membina tambahan rumah sehingga menyebabkan masing-masing terpaksa tidur dalam keadaan berhimpit-himpit.
“Saya dan suami memang ada beberapa kali cuba memohon bantuan supaya dapat dibina ruang tambahan tetapi gagal,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di Paya Kelubi, Bukit Keteri dekat sini hari ini.
Bagaimanpun dia bersyukur kerana Abdul Latif yang mencipta kemenangan pertama da­lam Sukan Para ASEAN di Nay Pyi Taw, Myanmar pada 2014 te­lah menghadiahkan wang ke­menangannya untuk dibuat se­dikit tambahan rumah dan ruang ­ dapur.
Salmah memberitahu, se­per­kara yang menggembirakan hatinya Abdul Latiff tidak pernah lupa jasa kedua mereka.
“Kita tak mampu memberikan Abdul Latif kebendaan te­tapi cukuplah dengan kasih sa­yang dan memberi dia semangat dalam bidang diceburi,” katanya.
Beliau berkata, dia tidak kisah membawa Abdul Latif yang masih kecil semasa berkerja membalut buah mempelam di ladang atau berjaja rebung dan kerepek.
“Abdul Latif juga sanggup tidak pergi ke sekolah hanya ke­rana menggunakan peluang untuk mencari ikan ketika musim orang membajak sawah bagi mendapatkan pendapatan tambahan keluarga,” katanya.
Bagi Romly pula, walau anak bongsunya tergolong dalam orang kurang upaya (OKU) te­tapi dia juga seperti orang lain yang tidak pernah menjadikan kekurangan diri itu sebagai penghalang kepada kejayaan.
Pada Ahad lalu, Abdul Latif menggegarkan sukan tanah air apabila memecah tiga rekod dunia dalam laluan memenangi pingat emas.
Lompatan terbaiknya adalah 7.60 meter. Terdahulu dia memperbaiki rekod dengan catatan 7.54m dan 7.47m.